Assalamuaikum dan salam sejahtera. Alhamduillah, baru-baru ini saya dan beberapa rakan sekali lagi diberi kesempatan untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi ciptaan Allah SWT yang maha pemurah lagi maha penyayang. Kali ini, kami berlima memilih Sg.Pisang sebagai lokasi untuk beriadah. Bagi penggemar air terjun, Air terjun Sungai Pisang adalah satu lokasi yang harus anda lawati.
Secara umumnya, Air Terjun Sungai Pisang (ATSP) ini terletak di daerah Gombak. Terdapat pelbagai laluan untuk pengunjung ke ATSP ini namun hanya 2 laluan utama yang ingin saya huraikan. Laluan pertama ialah melalui Jalan Gombak Lama yang menghala ke Bentong an kedua ialah melalui Lebuhraya Karak. Sekiranya anda merancang untuk menggunakan laluan Jalan Gombak Lama, SKEM Driving Academy adalah landmark utama. Selepas saja anda melepasi SKEM Driving Academy yang terletak di sebelah kanan jalan (sekiranya anda dari KL), tumpukan perhatian anda untuk mencari papan tanda Muka Sauk Sungai Gombak yang menghala ke kiri. Masuklah simpang ke kiri dan anda akan melihat anak sungai di sebelah kiri anda.
Di penghujung jalan terdapat palang serta Muka Sauk Sungai Gombak. Anda tidak dibenarkan melepasi palang tersebut. Jadi anda boleh tempatkan kenderaan anda di tepi-tepi jalan berhampiran palang tersebut. Setelah itu, anda boleh mulakan trekking melalui denai kecil di kiri jalan. Denai tersebut menghubungkan anda dengan anak sungai. Telusuri lah anak sungai itu untuk ke Air Terjun Sg.Pisang yang mengambil masa kurang lebih 45 minit.
Anda boleh menelusuri sungai melalui sungai tersebut ataupun mengikuti denai-denai di tepi sungai. Berhati-hatilah di setiap langkah terutamanya apabila anda melalui sungai itu kerana terdapat batu-batu yang licin, disamping arus deras air sungai. Setelah kurang lebih 10 minit perjalanan, kami menemui terowong yang mana di atasnya ialah Lebuh Raya Karak. Terdapat segelintir hikers yang parking di kilometer 27.8 lebuhraya Karak untuk ke Air Terjun Sungai Pisang ini.
Baik, setelah saja kami menembusi terowong ini,kami telah menaiki tangga yang akan membawa kami ke atas Lebuh Raya Karak. Kami berjalan sehingga ke Kilometer 27.8 di mana terdapat sebuah laluan denai di kilometer ini yang terus membawa anda ke Air Terjun Sg. Pisang ini. Untuk pengetahuan anda juga, anda juga boleh terus ke Air Terjun Sg.Pisang dengan menelusuri sungai selepas terowong tanpa menaiki tangga yang saya sebut sebentar tadi. Namun, penting untuk saya ingatkan disini, terdapat 2 cabang aliran sungai tidak lama selepas terowong ini, pastikan anda mengambil cabang / simpang ke kanan untuk ke Air Terjun Sg.Pisang. Cabang ke kiri pula ialah laluan Sungai Kerubi.
Kurang lebih 1 jam 45 minit perjalanan ditambah dengan rehat, berswafoto, kami tiba dengan selamatnya di Air Terjun Sg.Pisang. Indahnya tidak terkata. SubhanaAllah. Di kawasan air terjun ini terdapat juga tapak lapang untuk mereka yang ingin berkhemah. Setibanya kami di sana, kami memanjakan diri kami dengan air terjun, merehatkan minda dengan suasana hutan yang tenang, serta bunyi arus deras air terjun yang berterusan. Setelah mandi, menjamu selera, dan solat, kami pun beredar. Sebelum beredar, kelihatan 2 pasangan pelancong dari Russia tiba. Sekian saja perkongsian untuk entry kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca, semoga ia memberi manfaat kepada anda semua, InsyaAllah.
Cintailah alam seperti mencintai dirimu sendiri
Dari kiri : Irfan, Harith, Izzat dan Imran
Muka Sauk Sungai Gombak. Titik Permulaan.
Irfan dan Alif (penulis)
Harith sedang 'minta nyawa'
Kasut Irfan sudah mula menunjukkan "tanda-tanda akhir". Sentiasalah bersedia dengan getah atau tali sekiranya tapak kasut anda mula terputus sedikit-demi sedikit dari kasut.
Lebuhraya Karak. Terowong semakin hampir.
Kami, sebelum menembusi terowong
Setelah menembusi terowong, kami menaiki tangga di sebelah kiri terowong untuk ke atas LebuhRaya Karak
Berjalan sehingga ke KM28.7.
Tiba di Air Terjun Sungai Pisang
Menenangkan.
No comments:
Post a Comment