Mungkin ada di antara kita yang seringkali berkunjung ke bandar Kuantan, Pahang tetapi tidak pernah mendengar tentang Air Terjun Pelangi ini. Ada juga warga Kuantan sendiri yang tidak mengetahui dan ada juga yang masih belum berkesempatan untuk melawat ke sini. Apa yang menjadi keunikan dan tarikan utama air terjun ini adalah kerana terdapat pelangi yang begitu indah mewarnai sekitar pemandangan sekitarnya di waktu pagi ke tengahari. 

Air Terjun Pelangi ini terletak di Sungai Lembing, Kuantan. Pekan Sg. Lembing hanya terletak dalam sekitar 37 KM sahaja dari pusat bandaraya Kuantan. Untuk ke Air Terjun Pelangi ini, anda disarankan untuk menaiki powil yang disediakan di Pekan Sg Lembing. Perjalanan dari pekan ke tapak perkhemahan Lubuk Beruk adalah sekitar 45 minit. Seterusnya, anda akan mula trekking sejauh 2.8km dari Lubuk Beruk terus ke lokasi Air Terjun Pelangi. 

Trail laluan sepanjang trekking adalah jelas. Walaubagaimanapun, sentiasalah berhati-hati di setiap langkah kerana apabila anda telah tiba di kawasan permukaan batu, kawasan sekitarnya amat licin. Kawasan sekitar air terjun juga agak luas, air terjun pula agak cetek dan kebiasaannya, pelangi penuh akan kelihatan sekitar jam 9 pagi ke 11 pagi. Jadi, pastikan korang datang awal jika ingin melihat pelangi dan juga suasana matahari terbit di Bukit Sunset.

Biasanya, driver powil akan singgah di Bukit Sunset terlebih dahulu sebelum menuju terus ke tapak perkhemahan Lubuk Beruk. Sudah pasti anda tidak akan lupakan keindahan pemandangan di Bukit Sunset itu nanti. 


Jadi, kalau korang akan datang ke Kuantan, jangan lupa singgah di Sungai Lembing dan Air Terjun Pelangi ya!

 









 '








KEINDAHAN AIR TERJUN PELANGI DI KUANTAN !



"Weh hujung minggu ni aku nak turun Kuantan.. Ada port baek tak selain TC?" 

Jika datang ke Kuantan, tak lengkaplah itinerari perjalanan korang jika tidak singgah ke sebuah lokasi rekreasi semula jadi terkenal di sini yang dikenali sebagai Air Terjun Sungai Pandan. Air Terjun Sungai Pandan ini merupakan sebahagian daripada Hutan Lipur Pandan. Bagi penduduk setempat, air terjun ini juga dikenali sebagai Air Terjun Panching kerana ia berdekatan dengan sebuah kampung bernama Kampung Panching.

Jarak lokasi air terjun ini hanyalah kurang lebih 10 km sahaja dari Bandar Kuantan. Namun begitu, flora dan fauna yang mengelilingi kawasan sekitar air terjun ini sudah pasti akan membuatkan para pengunjungnya melupakan seketika kesibukan di hiruk-piruk kota serta kesibukan bekerja.Jika korang dari susur keluar lebuhraya Kuantan, kurang lebih 15 minit memandu saja dah sampai ye.

Bayaran masuk pula dikenakan sebanyak RM2 untuk dewasa, RM1 bagi kanak-kanak. Dengan bayaran ini, anda bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam serta air terjun sahaja tetapi juga semua kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan seperti tandas awam, surau, pondok rehat serta jambatan gantung di sini. Korang juga tidak perlu risau tentang ruangan parkir kerana ia agak luas.

Jadi, lokasi ini teramatlah sesuai bagi korang yang nak datang berkelah, mandi-manda dan melepak bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan. Sudah pasti lokasi ini akan padat dipenuhi pengunjung dari dalam dan luar Kuantan khususnya pada hujung minggu. Rancanglah perjalanan anda dengan baik dan apa tunggu lagi, On X on guys?

Peringatan


  1. Pintu pagar depan dibuka pada jam 9.00 pagi. Jika sampai awal, akan beratur dahulu dengan kereta-kereta lain ya.
  2.  Sediakanlah wang kecil secukupnya bagi memudahkan urusan pembayaran di kaunter. Belum semua kaunter beralih ke sistem digital :)
  3. Terdapat gerai-gerai makanan dan minuman di dalam, tetapi anda juga boleh membawa makanan sendiri. Dah seronok berenang kuok-lentang bagai mesti lapar kan. 
  4. TOLONG JAGA KEBERSIHAN. Sama-sama kita pupuk nilai jaga kebersihan ini bersama dan didik masyarakat kita ini.


 








 




KEINDAHAN AIR TERJUN SUNGAI PANDAN | KUANTAN



Gunung Irau merupakan puncak yang tertinggi di daerah Cameron Highland, negeri Pahang Darul Makmur. Ia juga adalah gunung yang ke-15 tertinggi di Malaysia dengan ketinggiannya 2,110 meter. Oleh kerana lokasi gunung ini terletak di kawasan beraltitud tinggi, gunung ini sarat dengan tumbuhan beraltitud tinggi seperti 'Mossy' yang sekali gus menjadikan ia salah satu gunung yang popular dikalangan para pendaki dan pelancong. Sudah pasti, jika anda penggemar filem seperti Lord of The Ring atau The Hobbit, sudah pastinya anda tidak mahu lepaskan peluang untuk melihat sendiri keindahan mossy forest yang terdapat di sekitar gunung ini.

11 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Anda Datang ke Gunung Irau ini?

1. Paling utama, pastikan anda telah memohon permit dari Jabatan Perhutanan Pahang ataupun dapatkan organisasi yang mengelola trip anda ke Gunung Irau bagi menguruskan segala urusan permit.

2. Nak naik Irau ini perlulah memohon dengan lebih awal, sekurang-kurangnya 2-3 bulan awal kerana begitu ramai sekali pelawat yang ingin berkunjung. Tambahan pula, pejabat hutan telah mengehadkan kepada 100 pendaki sahaja pada satu-satu hari. Jadi, rancang sebaiknya2 trip korang okay. Bear in mind, seperti biasa, ada juga cas permit dikenakan dalam lingkungan RM5-10 sahaja. Selebihnya mungkin kos makan dan minum, upah bagi organisasi.

3. Sebelum mendaki, pastikan anda menyediakan kelengkapan seperti:


  • Baju sejuk (windbreaker); kerana cuaca amat sejuk di Cameron Highland, khususnya semasa pendakian. Pakailah kasut hiking yang sesuai
  • Kasut 'Adidas Kampung' kerana keadaan permukaan Gunung Irau yang sentiasa berlecak, berselut.
  • Sarung tangan
  • Lampu Kepala (Headlamp), kita tidak boleh menolak kemungkinan untuk keluar dari kaki gunung pada waktu malam juga ya. 
  • Kit pertolongan cemas dan lain-lain

4. Pastikan juga, organisasi atau anda telah memaklumkan tentang aktiviti pendakian anda di balai polis yang berhampiran terlebih dahulu, sediakan maklumat pendaki, nombor waris dan lain2. Sertakan juga permit mendaki.

5. Untuk ke tapak permulaan mendaki, anda akan melalui ladang-ladang sayur dan teh disepanjang perjalanan. Nikmatilah pemandangan sepanjang perjalanan tersebut dan mensyukuri nikmat yang Allah SWT telah kurniakan di sekeliling kita ini.

6. Jika anda pemandu 4x4, pastikan anda extra focus semasa memandu sepanjang perjalanan ke tapak mula pendakian kerana keadaan laluan amat sempit, berbukit-bukau dan banyak selekoh. Gunakan hon setiap kali menghampiri selekoh tajam bagi mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan dari lawan arus.

7. Di tapak permulaan, kawasan adalah sedikit lapang, jadi korang boleh lakukan aktiviti warm-up dahulu sebelum memulakan pendakian. Terdapat juga papan tanda Hutan Mossy Forest bagi korang yang mahu berswafoto.

8. Permulaan pendakian adalah mendatar dan menurun sebelum ia mula mendaki. Anda juga sudah boleh menyaksikan mossy forest, permukaan berlumut dan periuk kera di awal pendakian ini. Namun, usahlah spend masa terlalu lama untuk bergambar dahulu kerana ada port lebih baik di atas menuju ke puncak sana. Dengan ini, korang juga boleh elakkan dari masalah lalu lintas :D

9. Untuk ke puncak Gunung Irau, anda perlu tiba ke Mini Irau terlebih dahulu. Dari starting point ke Mini Irau memakan masa sekitar 3-5 jam dan dari mini irau ke puncak pula sekitar 1-2 jam. Berhati-hatilah sepanjang perjalanan, pastikan ada orang di hadapan untuk elakkan daripada sesat. Bawalah makanan dan minuman yang mencukupi kerana sumber air agak limited, melainkan jika anda berpengetahuan luas tentang tumbuh-tumbuhan  sekitar untuk dijadikan hidangan.

10. Setelah penat mendaki, InsyaAllah, anda berpeluang menyaksikan keindahan kawasan Mossy yang kian viral di sosmed harini dan seterusnya puncak Gunung Irau. Puncak gunung boleh memuatkan sekitar 10-20 orang pada satu-satu masa. Oleh itu, rancanglah masa anda di puncak tanpa menyukarkan pergerakan orang lain. Ambillah sedikit masa itu untuk makan, berswafoto, dan refleksi diri sendiri tentang tujuan hidup ini sambil mensyukuri nikmat Allah SWT.

11. Setelah itu, turunlah perlahan-lahan dan pulanglah ke tempat asalmu wahai sang pengembara. Akhir sekali, tolonglah bawa keluar apa jua yang anda bawa masuk bersama, jagalah kebersihan alam ini. Semoga aktiviti riadah ini diterima di sisi Allah SWT dan semoga kita semua sentiasa dikurniakan rezeki dan kekuatan untuk terus berpetualang untuk menyaksikan keagungan-Nya. Wallahualam.






 
Perjalanan ke Starting Point bersama 4X4


Starting Point


Sedikit Gambaran trail


 
Gambar ini pula dirakamkan di Mini Irau

Ini pula di Puncak Gunung Irau.




Penulis ingin masa bersendirian :D












11 PERKARA WAJIB TAHU SEBELUM HIKING DI GUNUNG IRAU



Jika anda dan rakan-rakan telah ketandusan idea untuk mengisi masa lapang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, mungkin Bukit Gasing boleh menjadi satu lokasi menarik untuk dilawati. Bukit Gasing atau Gasing Hill ini terletak di Petaling Jaya, Selangor yang dahulunya merupakan kawasan ladang getah yang akhirnya dijadikan sebagai kawasan rekreasi untuk warga Kuala Lumpur dan sekitarmya beriadah.

Bukit Gasing ini amat dikenali khususnya bagi warga sekitar, para pelari denai, para pendaki dari pelbagai lokasi yang membuatkan bukit ini tidak putus-putus menerima kunjungan terutamanya pada hujung minggu! Jadi, jika anda inginkan sedikit ketenangan, boleh rancang untuk datang ke lokasi ini pada hari weekdays. Bagi anda yang gemar bergerak solo, anda juga akan rasa selamat kerana akan sentiasa terdapat pakcik dan makcik di sekitar yang datang ke bukit ini untuk beriadah. Anda juga tidak dikenakan sebarang bayaran untuk memasuki hutan di Bukit Gasing ini.

Ada beberapa laluan utama untuk memasuki hutan Bukit Gasing ini; laluan utama yang agak popular dari Petaling Jaya kerana mempunyai pintu gerbangnya yang begitu jelas dan satu lagi laluan dari Kuala Lumpur. Dalam bukit ini ada banyak laluan denai yang kita boleh lalui tetapi haruslah pastikan bahawa kita pernah melaluinya atau kita bersama dengan mereka yang tahu akan selok-beloknya. Mungkin inilah sebabnya mengapa bukit ini dinamakan Bukit Gasing kerana laluannya yang berpusing-pusing.

Keadaan denai juga adalah jelas, boleh dikategorikan dari mudah kepada sederhana sukar. Laluan-laluan denai ini membawa kita jambatan gantung, menara peninjau dan juga kuil. Pendek kata, Bukit Gasing ini tiada puncak yang spesifik tetapi terdapat beberapa lokasi di mana pengunjung dapat melihat pemandangan disekitar hutan dan bandar. Secara purata, anda mungkin akan menghabiskan sekurang-kurangnya 1-3 jam untuk dengan pace sederhana untuk jelajah sekitar trail di bukit ikonik ini. 




 





 
Laluan bertangga yang "diminati" ramai 



Sedikit outlook sekitar hutan  



 
Mustahil untuk meniti Jambatan Gantung ini tanpa penghasilan sekeping foto :D



Sentiasalah peka pada papan tanda sepanjang perjalanan, anda bukan sahaja hiking, tetapi belajar perkara baharu. Make it to the fullest.



Sekumpulan remaja at wit's end di hujung minggu :D


Selamat Mencuba, Terima Kasih sudi membaca dan jumpa lagi di post yang akan datang ya :D



HIKING DI BUKIT GASING | PETALING JAYA




Dahulunya, puncak bukit ini digunakan oleh tentera British di zaman pasca kemerdekaan sebagai satu lokasi tapak stesen pemantauan. British juga terkenal dengan minat mereka dengan lokasi tanah-tanah tinggi yang dipercayai lebih selesa, sejuk dan selamat. Ini dapat dilihat apabila kebanyakan lokasi tanah tinggi di Malaysia dibuka oleh warga British. Walaubagaimanapun, ianya telah dibom oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua bilamana pihak tentera Jepun mulai mara dari utara Tanah Melayu menuju ke Singapura. Jadi, apabila anda mendaki dan sampai ke puncak Bukit Kutu ini, anda akan menemui beberapa kesan peninggalan sejarah semasa era pemerintahan British seperti banglo lama.

Info trek
  • Ketinggian: 3576 kaki (1053 meter)
  • Lokasi: Kuala Kubu Baru (Selangor).
  • Jarak: 6.5 Kilometer
  • Kordinat GPS: N3.54359 E101.71961
  • Tempoh Pendakian: 2-3 Jam (berbeza mengikut tahap kecergasan individu)

Kemudahan
  • Bilik Salinan
  • Bayaran Parking: RM1
  • Terdapat Gerai-gerai Kecil di kawasan Carpark

Jika anda ingin mendaki Bukit Kutu, hantarkan permohanan permit ke Pejabat Hutan Hulu Selangor melalui emel phdhuluselangor@yahoo.com. Setelah permohonan diluluskan, anda boleh membuat bayaran dengan wang pos. Anda juga boleh mencari organisasi aktiviti lasak bagi menguruskan trip, permohonan permit, dan guide untuk mendaki Bukit Kutu .

Bukit Kutu adalah sebuah lokasi yang menarik bagi penggemar aktiviti hiking, pelari denai yang ingin membina stamina dan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan hiking. Lokasinya yang begitu hampir dengan kota KKB dan Kuala Lumpur memudahkan pengunjung untuk datang. Namun begitu, suka diingatkan agar anda mendaki bersama mereka yang tahu selok-belok sekitar, ataupun dapatkan khidmat guide. Ini kerana di dalam hutan menuju ke puncak Bukit Kutu ini terdapat beberapa simpang yang boleh membawa anda jauh dari Bukit Kutu malah mungkin menghampiri beberapa gunung berhampiran di sempadan seperti Gunung Rajah, Gunung Ulu Semangkuk, dan Gunung Gap. Jika anda mendaki diwaktu malam atau awal pagi, pastikan membawa headlamp, Koordinat GP bagi memudahkan anda serta mengelakkan anda dari sesat. Untuk mereka yang newbies, pastikan anda bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum bercadang untuk mendaki Bukit Kutu, atau mana-mana lokasi sekalipun demi kebaikan kesihatan anda.

Perjalanan hiking dari carpark hingga ke jambatan pertama adalah santai kerana ia adalah laluan balak. Namun setelah melintasi anak sungai dan menemui simpang Y (sila ambil Kanan), pendakian pun bermula sehingga ke puncak Bukit Kutu. Laluan pendakian pula adalah jelas atau Well-defined, sepanjang trek sarat dengan akar-akar pokok yang sedikit sebanyak membantu kita mendapatkan cengkaman (grip) yang kukuh dan stabil semasa mendaki. Ada masanya laluannya mendaki, ada masa ia mendatar (diskaun).Di beberapa kawasan yang agak cerun juga terdapat tali-tali yang boleh digunakan untuk berpaut sekali gus membantu pergerakan. Nak lihat keindahan pemandangan dipuncak perlulah melalui cabaran dan dugaan sepanjang pendakian, begitulah jua kehidupan kita ini. Terkadang keperitan yang kita lalui ada hikmahnya malah mungkin menjadi asbab dari Allah SWT untuk suatu yang lebih baik.

Di puncak pula boleh memuatkan sekurang-kurangnya 20-30 pendaki pada satu-satu masa dan terhad kepada hanya 2 orang sahaja untuk memanjat batu yang popular di puncak Bukit Kutu untuk melihat sendiri panorama pemandangan sekitar pergunungan dan empangan. Elakkan naik beramai-ramai demi keselamatan dan janganlah meluangkan masa terlalu lama di atas puncak serta batu tersebut bagi memberi laluan kepada mereka yang lain. Bagi yang tidak yakin dan ragu-ragu untuk naik kerana risau akan keselamatan, terpulang kepada anda, know your limit, respect it and work on it to expand it in the future. Halakan juga tumpuan anda untuk memakai pakaian hiking yang sesuai, membawa lampu suluh (headlamp), ration yang mencukupi serta peralatan kecemasan. Anda juga boleh mendapatkan peralatan outdoor yang berkualiti dengan harga berpatutan >>KLIK DI SINI<<



Sepanjang pendakian, jagalah tutur kata, budi bicara, khususnya buat kita selaku tetamu di rimba ini. Kadangkala, kita berpotensi untuk menyaksikan perkara-perkara yang diklasifikasikan sebagai mistik Untuk perjalanan kali ini, seorang daripada kami telah menceritakan bagaimana beliau telah mengambil sebatang kayu sebagai walking stick yang terdapat di berdekatan anak sungai. Tongkat tersebut mempunya 2 cabang, Y-shaped dan menurutnya, sepanjang dia menggunakan tongkat tersebut, sepanjang itulah kami tersesat dari laluan asal. Apabila kami menyedari bahawa kami telah jauh tersasar dari laluan pendakian dan patah balik ke simpang utama yang berhampiran anak sungai untuk kembali ke laluan yang sebenar, tongkat tersebut telah pun hilang dari beliau. Sejauh mana kebenaran tentang pemilikan "Tongkat 2 Cabang" dengan insiden sesat kami, WallahuAlam. Usai turun ke kaki bukit, anda berpeluang untuk manjakan diri anda dengan menikmati keindahan air terjun yang terdapat di sana. Nikmatilah alam semula jadi ini sebelum pulang ke lembah duniawi untuk meneruskan kehidupan di kota.



Lain-lain, pupuklah juga inisiatif dalam turut serta menjaga kebersihan hutan ini dengan membuang segala sampah ditempatnya, mengutip sampah sarap yang ditemui sepanjang pendakian, agar khazanah warisan kurniaan dari Allah SWT ini akan terus terpelihara dan dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang. bukan sahaja buat kita sebagai pendaki, tetapi kepada penghuni asal mereka yakni haiwan-haiwan, dan tumbuh-tumbuhan yang mendiaminya. 



Akhir kata, Cintailah Alam Seperti Mencintai Diri Kita Sendiri. Sampai ketemu lagi kita di penulisan seterusnya jika diizinkan Allah SWT. 







 










 

Carpark 






Sungai di kawasan Carpark








 
Laluan Balak



 
Sekumpulan tetamu Rimba



 
Antara monumen sejarah di kawasan puncak



 
Batu popular di puncak Gunung Kutu




HIKING DI BUKIT KUTU | KUALA KUBU BHARU

Bukit Chenuang ini terletak di Daerah Hulu Langat. Jadi bagi mereka yang ingin menambahkan check-list hiking khususnya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Bukit Chenuang adalah sebuah lokasi yang wajar anda kunjungi.

Terletak di Hulu Langat, bukit ini begitu berhampiran dengan kawasan-kawasan 
rekreasi yang lain seperti Hutan Lipur Gunung Nuang, Bukit Batu Kumbang
Air Terjun Sg.Gabai dan beberapa lagi lokasi.

Sedikit maklumat tentang bukit ini:
  1. Ketinggian: 2788 kaki (840 meter)
  2. Lokasi: Hulu Langat, Selangor
  3. Tempoh: 2-3 jam untuk ke Bukit Chenuang
  4. Tahap kesukaran : Sederhana


Trek dari Entrance Hutan Lipur Sungai Congkak ke Puncak Bukit Chenuang ini adalah jelas. Terdapat tanda arah yang disediakan bagi memudahkan para pendaki. Sepanjang perjalanan juga, anda akan menemui beberapa batang  anak sungai dan dijangka dalam 2-3 jam untuk ke Puncak Bukit Chenuang

Anda boleh menaiki Bukit Chenuang melalui Hutan Lipur Sungai Congkak. Waze sahaja ya. kawasan Hutan Lipur Sungai Congkak ini sangat  menyegarkan apabila sepanjang laluannya, kita akan diiringi oleh aliran Sungai. Terdapat juga chalet, rest house di sepanjang sungai  bagi mereka yang ingin berkelah serta bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.

Di dalam Hutan Lipur ini juga telah disediakan tandas dan bilik mandi. Bayaran masuk yang dikenakan pula hanya RM5 termasuk permit manakala RM15 (parking di dalam). Anda juga tidak perlu risau tentang makanan kerana sepanjang perjalanan anda dari Pekan Hulu Langat ke Entrace Hutan Lipur Sungai Congkak ini terdapat pelbagai gerai makanan dengan pelbagai juadah makanan.

Dengan jarak masa kurang lebih 20-30 minit saja dari kawasan KL dan Lembah Klang, semestinya lokasi ini harus anda lawati. Melihat kawasan hutan Hulu Langat yang masih kekal terpelihara, suka saya ingatkan agar sama-sama kita turut serta menjaga kebersihan kawasan hutan ini dan di mana-mana sekalipun kita berpetualang agar alam flora dan fauna akan kekal terpelihara.




HIKING DI BUKIT CHENUANG | HULU LANGAT

Assalamualaikum dan salam sejahtera, semoga kalian sentiasa dipermudahkan urusan, dimurahkan rezeki dan senantiasa dirahmati oleh Allah S.W.T. Entry kali ini adalah penulisan ringkas tentang pengembaraan saya ke Gunung Tok Wan yang terletak di Semenyih / Broga.Gunung ini terletak bersebelahan dengan Bukit Broga sahaja ya. Ketika saya pertama kali mendaki Broga pada 2013, kami telahpun diberi penerangan mengenai kewujudan Gunung Tokwan ini. Namun belum berkesempatan untuk melawatnya kerana kekangan masa ketika itu. Untuk ke Gunung Tok Wan ini, kami harus melalui Puncak Bukit Broga terlebih dahulu. Sedikit info tentang Gunung Tok Wan ini :

  1. Ketinggian : 2214 kaki (675 meters) N2.96873 E101.91612
  2. Lokasi: Broga (Selangor / Negeri Sembilan
  3. Memakan masa 30 - 45 minit ke Puncak Bukit Broga dan menyambung kurang lebih 2 jam untuk ke Puncak Gunung Tok wan
  4. Jarak : 1.7 KM ke Puncak Bukit Broga dan 4.7 KM ke Gunung Tok Wan dari kawasan parking

Oleh itu pada tahun 2017, saya telah kembali melawat Bukit Broga sekali gus ke Puncak Gunung Tokwan. Umum mengetahui, laluan ke Puncak Broga adalah jauh lebih jelas dan terang. Walaubagaimanapun, laluan ke Tokwan pula adalah sebaliknya. Ia jauh lebih sempit dan dikelilingi dengan hutan belantara yang tebal. Oleh kerana itu, tahap kesukarannya boleh dikatakan dari mudah ke sukar. Terdapat tanda2 arah yang diletakkan oleh para hikers untuk panduan kepada hikers yang lain. Puncak Gunung Tok Wan pula adalah tertutup. 

Untuk pengetahuan anda juga, terdapat beberapa kes kehilangan pendaki yang berlaku di Gunung Tok Wan dan Bukit Broga ini yang melibatkan kedua pendaki dalam mahupun luar negara. Boleh klik link ini, 
Remaja Hilang di Gunung Tok Wan dan Seminggu Hilang di Broga,  Oleh itu, pastikan anda bersama mereka yang tahu akan selok-belok ke Puncak Gunung Tok Wan ini jika ingin mendaki. 



 

Mula mendaki agak lewat. Dalam jam 9 lebih baru tiba di Puncak Bukit Broga




 
Akar berbentuk Octopus 



 
Puncak Gunung Tok Wan !


 
Kami kehabisan air dalam perjalanan balik. Suhu amat panas ketika tiba di Puncak Broga. Pengajarannya, pastikan bawa bekalan makanan dan minuman secukupnya yea 

HIKING DI GUNUNG TOK WAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua ! Semoa anda semua dalam keadaan yang sihat walafiat. Untuk entry kali ini, saya ingin kongsikan sedikit pengalaman saya semasa melawat sebuah bukit yang amat terkenal, iaitu Bukit Broga. Sebenarnya saya sudah lama tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Bukit Broga. Penulisan ini hanyalah berdasarkan pengembaraan saya ke sana pada tahun 2013 bersama anggota Siswa Siswi Pertahanan Awam UNISEL. Ketika itu, saya masih seorang undergraduate.

Untuk pengetahuan anda, Bukit Broga ini terletak di daerah Semenyih, Selangor. Nama Broga ini adalah asalnya dari Pekan Broga yang terletak di Negeri Sembilan. Dengan ketinggian sederhana iaitu 400 meter dari paras laut, bukit ini sesuai bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti hiking yang santai bersama keluarga, rakan-rakan. Saya dan rakan-rakan SISPA UNISEL telah bergerak dari UNISEL sekitar jam 2 pagi dan tiba di Pekan Semenyih sekitar jam 3.45 am

Oleh kerana Bukit Broga ini berhampiran dengan Pekan Broga dan Semenyih, saya dan rakan2 sempat singgah ke beberapa kedai runcit di sekitar pekan untuk mendapatkan makanan dan minuman ringan sebagai bekalan ketika mendaki bukit. Setelah itu kami terus ke kawasan kaki Bukit Broga. Keadaan amat gelap di sekeliling kerana kami dikelilingi oleh tanaman kelapa sawit. Pokok2 kelapa yang ditanam dalam jarak yang agak jauh antara satu sama lain memberi ruang parking kepada pengunjung. Ada cas parking akan dikenakan juga. Setelah semua ahli tiba, kami semua memanaskan badan, bacaan doa dan pendakian dimulakan. Kami mulakan pendakian tepat pada jam 5 AM. Keadaan amatlah gelap, mujur ada cahaya dari headlamp. 

Untuk trail Bukit Broga, trailnya amat jelas. Walaubagaimanapun, ada beberapa kawasan yang berbatu2 dan berpasir. Oleh itu, berhati-hatilah disetiap langkah. Ada juga inclination sekitar 50 -60 darjah pendakian dan terdapat tali2 yang sedia ada bagi memudahkan perrgerakan kita. Alhamdulillah, pada jam 6 pagi lebih, kami tiba di puncak Broga, cuaca ketika itu teramatlah sejuk dan berangin. Kelihatan pemandangan bandar dan kawasan sekitar yang disinari cahaya bulan dan neon yang begitu cantik. SubhanaAllah. Tak lama itu, kedengaran Azan subuh berkumandang dan kami bersiap untuk solat. Setelah itu, kami semua berehat dan menanti sunrise.



 
Berkumpul di Dewan Chancelori sebelum bergerak ke Semenyih

 
Dah bersedia nak bergerak :D

 
Kami mula mendaki 


 
Menyahut seruan Azan. Solat Subuh dahulu



 
Selesai sampai di Puncak, selesai Solat, Selesai Breakfast. Masa untuk berswafoto, lagi.


 
Sambil menanti Sunrise, berswafoto lagi

Saya dan pemandangan


Secara ringkasnya, Bukit Broga adalah satu destinasi hiking yang santai. Tambahan, ia juga menyajikan pandangan di puncak yang begitu menarik. MashaAllah. InsyaAllah, jika ada rezeki, saya secara peribadi ingin melawat lagi Bukit Broga ini. Kepada anda, terima kasih kerana sudi membaca, semoga anda dipermudahkan urusan, dipanjangkan umur dan dipermudahkan rezeki oleh Allah SWT.
Assalamuaikum w.b.t





HIKING DI BUKIT BROGA